19 Mac 2025

BOLEHKAH MENYAMAN ORANG YANG SUDAH BANKRAP?

saman orang bankrap

Apabila seseorang diisytiharkan bankrap selaras dengan peruntukan-peruntukan Akta Insolvensi 1967, hak si Bankrap tersebut untuk menguruskan kewangannya sendiri menjadi terhad. Salah satu kesan utama pengisytiharan kebankrapan ialah pemiutang tidak boleh sewenang-wenangnya memfailkan saman atau mengambil tindakan undang-undang terhadap individu tersebut. Mengapakah begitu? Adakah orang yang sudah bankrap boleh di saman? 

...

1. Menurut peruntukan di dalam seksyen 8 (1) Akta Insolvensi 1967, apabila seseorang telah diisytiharkan sebagai bankrap, semua tindakan undang-undang berkaitan tuntutan kewangan terhadapnya tidak boleh diteruskan kecuali dengan kebenaran mahkamah. 

...

2. Ini bermaksud bahawa mana-mana individu atau syarikat yang ingin memfailkan saman berbentuk tuntutan kewangan, hutang atau tunggakan sewa sebagai contoh, terhadap seseorang yang telah bankrap perlu mendapatkan kebenaran Mahkamah terlebih dahulu sebelum boleh memfailkan sebarang tindakan saman.

...

3. Mahkamah mempunyai budi bicara samada untuk membenarkan tindakan saman tersebut atau menolak permohonan kebenaran tersebut ataupun meletakkan sebarang syarat-syarat tertentu yang sesuai terhadap tindakan tersebut.

...

4. Tujuan peraturan ini adalah untuk memastikan bahawa segala tuntutan kewangan terhadap individu bankrap diuruskan melalui Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) dan tidak mengganggu proses pentadbiran harta bankrap yang telah dikendalikan oleh pihak berkuasa. 

...

5. Atas dasar itu juga adalah menjadi sesuatu yang sangat penting untuk membuat carian kebankrapan terhadap seseorang itu sebelum memasuki apa - apa transaksi urus niaga atau memulakan sebarang tindakan undang-undang di Mahkamah terhadap beliau.

...

Ini adalah kerana apa-apa tindakan saman yang difailkan terhadap orang yang masih berstatus bankrap adalah dianggap tidak teratur dan lazimnya akan diketepikan ex debito justitae atau atas dasar keadilan. 

...


Bilakah Individu Bankrap Masih Boleh Disaman?

5. Walaupun seseorang yang telah bankrap dilindungi daripada tindakan undang-undang untuk sebarang tuntutan hutang, terdapat beberapa keadaan di mana saman masih boleh difailkan terhadap mereka.

...

6. Salah satu keadaan di mana si Bankrap boleh di saman adalah apabila ianya melibatkan tuntutan yang tidak berkaitan dengan hutang. Jika saman tersebut melibatkan isu lain seperti tuntutan kecuaian, fitnah, atau kesalahan jenayah, maka pihak yang berkepentingan masih boleh memfailkan tindakan undang-undang terhadap si Bankrap.

...

7. Menjadi bankrap tidak bermaksud seseorang bebas daripada semua tindakan undang-undang, tetapi ia memberikan perlindungan daripada saman berkaitan hutang kecuali kes-kes yang telah mendapat kebenaran Mahkamah. 

...

8. Jadi secara kesimpulannya, orang yang telah bankrap tidak boleh di saman di Mahkamah melainkan terlebih dahulu mendapat kebenaran Mahkamah untuk memfailkan tindakan tersebut.


---

kebankrapan

____________________________


Perhatian - Mykebankrapan.com bukanlah merupakan laman yang dikendalikan oleh mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia mahupun mana-mana badan kerajaan. Ianya dikendalikan oleh pihak profesional tempatan yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia atau mana-mana badan kerajaan atau yang sewaktu dengannya. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam Mykebankrapan.com tidak boleh dijadikan panduan untuk sebarang tindakan secara sendirian tanpa terlebih dahulu merujuk kepada mana-mana konsultan atau peguam yang berpengalaman.


12 Mac 2025

KEPENTINGAN CARIAN KEBANKRAPAN SEBELUM SESUATU URUSAN

carian kebankrapan

Kebankrapan bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan, terutama jika anda terlibat dalam urusan kewangan atau perniagaan dengan seseorang. Mengetahui status kewangan seseorang boleh membantu anda mengelakkan risiko kewangan yang tidak diingini. Tetapi, mengapa semakan status kebankrapan ini penting? Berikut adalah beberapa sebab utama yang perlu dipertimbangkan.

1. Jika anda bercadang untuk menjadi rakan kongsi atau melantik seseorang sebagai pengarah syarikat, penting untuk menyemak status kebankrapan mereka. 

...

2.Di Malaysia, individu yang telah diisytiharkan bankrap tidak dibenarkan memegang jawatan sebagai pengarah syarikat atau terlibat dalam pengurusan perniagaan tertentu.

...

3. Sebagai contoh, Ahmad ingin membuka syarikat bersama rakannya, Faris. Sebelum menandatangani perjanjian perkongsian, Ahmad menyemak status kewangan Faris dan mendapati bahawa dia telah diisytiharkan bankrap. Ini membolehkan Ahmad mengelakkan risiko menyertai perniagaan yang mungkin terjejas akibat status kebankrapan Faris.

...

4. Carian kebankrapan juga boleh melindungi kepentingan sebagai pemberi pinjaman atau pemiutang. Jika anda bercadang memberi pinjaman wang kepada seseorang, menyemak status kebankrapan mereka boleh membantu anda menilai kebolehan mereka untuk membayar balik hutang tersebut.

... 

5. Individu yang telah bankrap biasanya mengalami sekatan kewangan yang boleh menjejaskan kemampuan mereka untuk memenuhi komitmen kewangan.

...

6. Katakan, Lisa ingin memberi pinjaman sebanyak RM50,000 kepada seorang kenalan, Johan, yang mendakwa memerlukan wang untuk memulakan perniagaan. 

...

7. Sebelum memberikan pinjaman, Lisa membuat semakan dan mendapati bahawa Johan telah diisytiharkan bankrap. Ini membuatkan Lisa lebih berhati-hati dan mengelakkan potensi kerugian.

...

8. Carian kebankrapan juga boleh membantu kita menilai kebolehpercayaan penyewa bagi urusan pembelian atau penyewaan hartanah. Bagi tuan rumah atau ejen hartanah, menyewakan rumah kepada seseorang yang mempunyai status kewangan tidak stabil boleh mendatangkan risiko. 

...

9. Penyewa yang telah bankrap mungkin menghadapi kesukaran membayar sewa secara konsisten.

...

10. Contohnya, Encik Razak ingin menyewakan rumahnya kepada seorang penyewa, namun sebelum menandatangani kontrak, beliau menyemak status kewangan individu tersebut. 

...

11. Beliau mendapati bahawa bakal penyewa itu mempunyai rekod kebankrapan, yang menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk meminta cagaran lebih tinggi atau memilih penyewa lain.

...

12. Carian Kebankrapan juga boleh membantu memastikan keselamatan kepentingan dalam urusan kontrak.
...

13.  Syarikat ABC ingin menjalinkan hubungan perniagaan dengan perniagaan milikan tunggal (enterprise) XYZ. Sebelum meneruskan urusan perniagaan, syarikat ABC tersebut menyemak status kebankrapan pemilik perniagaan milikan tunggal tersebut dan mendapati bahawa individu itu adalah bankrap, maka syarikat ABC akan lebih berhati-hati sebelum meneruskan urusan perniagaan tersebut.
...

14. Menyemak status kebankrapan seseorang bukanlah bertujuan untuk menilai mereka secara peribadi, tetapi lebih kepada melindungi kepentingan anda dalam pelbagai urusan kewangan, perniagaan, dan kehidupan seharian. Dengan melakukan semakan lebih awal, anda boleh mengelakkan risiko kewangan yang tidak perlu dan membuat keputusan yang lebih bijak.

---

kebankrapan

____________________________


Perhatian - Mykebankrapan.com bukanlah merupakan laman yang dikendalikan oleh mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia mahupun mana-mana badan kerajaan. Ianya dikendalikan oleh pihak profesional tempatan yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia atau mana-mana badan kerajaan atau yang sewaktu dengannya. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam Mykebankrapan.com tidak boleh dijadikan panduan untuk sebarang tindakan secara sendirian tanpa terlebih dahulu merujuk kepada mana-mana konsultan atau peguam yang berpengalaman.

05 Mac 2025

CARA MENYEMAK STATUS KEBANKRAPAN SESEORANG

semakan status kebankrapan

Adakah anda ingin mengetahui sama ada seseorang telah diisytiharkan bankrap atau muflis? Sama ada untuk tujuan perniagaan, perjanjian kewangan, tindakan Mahkamah atau kepentingan lain yang dibenarkan oleh undang-undang, anda boleh membuat semakan melalui platform rasmi yang disediakan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia. Berikut adalah langkah-langkah yang perlu anda ambil untuk menyemak status kebankrapan seseorang secara sah.

Langkah 1: Pastikan Anda Mempunyai Sebab Sah untuk Membuat Semakan
Semakan atau carian kebankrapan boleh dibuat oleh pihak yang mempunyai kepentingan sah, seperti pemiutang, rakan kongsi perniagaan, atau individu yang terlibat dalam transaksi kewangan dengan pihak yang ingin disemak.

Tujuan semakan atau carian kebankrapan ini dilakukan lazimnya adalah untuk memastikan apa-apa kepentingan pihak yang membuat semakan itu terjamin sebelum memasuki apa-apa transaksi dengan pihak yang ingin disemak.

Sebagai contoh, jika anda ingin memberikan hutang kepada seseorang itu, maka carian kebankrapan akan membantu anda menilai risiko - risiko pemberian hutang tersebut. Begitu juga dengan pelaburan, tawaran perkerjaan atau pangkat, hubungan perniagaan, malah untuk tujuan tuntutan di Mahkamah. 
...

Langkah 2: Layari Laman Web e-Insolvensi
Jabatan Insolvensi Malaysia menyediakan platform atas talian di laman web rasmi mereka, iaitu e-Insolvensi. Laman ini membolehkan anda membuat carian status kebankrapan individu secara sah dan mengikut prosedur yang ditetapkan.
...

Langkah 3: Daftar dan Log Masuk ke Sistem
Jika ini kali pertama anda menggunakan sistem e-Insolvensi, anda perlu mendaftar akaun baharu dengan mengisi butiran asas seperti nama penuh dan nombor kad pengenalan. Jika anda sudah mempunyai akaun, anda boleh terus log masuk menggunakan maklumat yang didaftarkan sebelum ini.
...

Langkah 4: Pilih Perkhidmatan Carian Status Kebankrapan
Setelah berjaya log masuk, cari dan pilih perkhidmatan “Carian Status Kebankrapan Individu.” Anda akan diminta memasukkan maklumat orang yang ingin disemak, termasuk nama penuh seperti dalam kad pengenalan dan nombor kad pengenalan mereka.
...

Langkah 5: Lakukan Pembayaran Yuran Semakan
Setiap carian kebankrapan dikenakan bayaran sebanyak RM10.00. Bayaran ini boleh dilakukan secara dalam talian menggunakan kaedah pembayaran yang disediakan dalam sistem e-Insolvensi. Pastikan transaksi pembayaran berjaya sebelum meneruskan ke langkah seterusnya.
...

Langkah 6: Terima Keputusan Carian
Selepas pembayaran disahkan, sistem akan memaparkan keputusan sama ada individu tersebut telah diisytiharkan bankrap atau tidak. Jika individu itu bankrap, maklumat berkaitan seperti nombor kes dan status kes boleh didapati dalam laporan yang disediakan.
...


Menyemak status kebankrapan seseorang bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Ia perlu mempunyai tujuan yang sah dan dilakukan melalui platform rasmi Jabatan Insolvensi Malaysia. Dengan mengikuti langkah-langkah di atas, anda boleh mendapatkan maklumat yang tepat dan sah mengikut undang-undang, sekali gus membantu anda membuat keputusan kewangan atau perniagaan yang lebih selamat.

---

kebankrapan

____________________________


Perhatian - Mykebankrapan.com bukanlah merupakan laman yang dikendalikan oleh mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia mahupun mana-mana badan kerajaan. Ianya dikendalikan oleh pihak profesional tempatan yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia atau mana-mana badan kerajaan atau yang sewaktu dengannya. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam Mykebankrapan.com tidak boleh dijadikan panduan untuk sebarang tindakan secara sendirian tanpa terlebih dahulu merujuk kepada mana-mana konsultan atau peguam yang berpengalaman.

28 Februari 2025

MENERIMA NOTIS KEBANKRAPAN DAN PETISYEN KEBANKRAPAN

notis kebankrapan petisyen kebankrapan

Apabila anda menerima Notis Kebankrapan atau Petisyen Kebankrapan, ini adalah petanda jelas bahawa suatu prosiding kebankrapan telah dimulakan terhadap anda di Mahkamah. Situasi ini biasanya berlaku apabila suatu tindakan saman telah difailkan terhadap anda, dan pihak Plaintif telah berjaya mendapatkan penghakiman terhadap anda. Amaun penghakiman yang terlibat pula mestilah tidak kurang daripada RM100,000.00, sama ada melibatkan hutang atau jumlah gantirugi yang dikenakan.

Notis Kebankrapan adalah dokumen rasmi yang menuntut anda untuk membuat pembayaran amaun penghakiman berserta faedah dalam tempoh 7 hari dari tarikh notis tersebut diserahkan kepada anda. Ia merupakan langkah akhir sebelum Pemiutang memohon untuk mendapatkan Perintah Kebankrapan terhadap anda. 

Apabila anda menerima notis ini, tindakan segera yang perlu dilakukan ialah merujuk kepada peguam. Ini kerana jangka masa yang diberikan untuk menjawab atau mencabar Notis Kebankrapan adalah sangat terhad, dan kegagalan untuk bertindak dalam tempoh ini boleh menyebabkan proses kebankrapan diteruskan tanpa peluang untuk mempertahankan diri anda.

Berbeza pula dengan Petisyen Kebankrapan, dokumen ini merupakan permohonan rasmi daripada Pemiutang kepada Mahkamah untuk mendapatkan Perintah Kebankrapan terhadap anda. 

Sama seperti Notis Kebankrapan, tindakan pertama yang perlu anda ambil setelah menerima Petisyen Kebankrapan ialah mendapatkan nasihat undang-undang daripada peguam. Penting untuk diingat bahawa setiap dokumen ini membawa implikasi undang-undang yang besar, dan hanya melalui nasihat yang betul, anda boleh mengambil langkah yang tepat untuk melindungi hak anda.

Satu persoalan yang sering timbul ialah, adakah proses kebankrapan akan terhenti jika anda mengabaikan atau enggan menerima penyerahan Notis Kebankrapan atau Petisyen Kebankrapan? 

Jawapannya adalah tidak. Mengabaikan dokumen ini tidak akan menghentikan proses kebankrapan kerana undang-undang membenarkan penyerahan dokumen-dokumen ini dilakukan secara Penyampaian Ganti. 

Sebagai contoh, dokumen boleh dipamerkan di alamat terakhir anda yang diketahui atau diiklankan di surat khabar. Ini bermakna, proses untuk membankrapkan anda akan tetap diteruskan meskipun anda tidak menerima dokumen secara langsung.

Oleh itu, mengabaikan Notis Kebankrapan atau Petisyen Kebankrapan bukanlah langkah yang bijak. Sebaliknya, ambil tindakan proaktif dengan mendapatkan nasihat undang-undang segera dan memastikan anda memahami hak serta pilihan anda dalam situasi ini. 

Kebankrapan membawa implikasi yang serius kepada kebebasan kewangan dan kehidupan seharian anda, dan hanya dengan tindakan yang betul, anda boleh mengurangkan kesan buruknya atau berusaha menyelesaikan situasi ini dengan sebaik mungkin. Jangan biarkan dokumen ini diabaikan, kerana tindakan segera boleh menjadi penentu kepada hasil yang lebih baik dalam kes anda.

---

kebankrapan

____________________________


Perhatian - Mykebankrapan.com bukanlah merupakan laman yang dikendalikan oleh mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia mahupun mana-mana badan kerajaan. Ianya dikendalikan oleh pihak profesional tempatan yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia atau mana-mana badan kerajaan atau yang sewaktu dengannya. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam Mykebankrapan.com tidak boleh dijadikan panduan untuk sebarang tindakan secara sendirian tanpa terlebih dahulu merujuk kepada mana-mana konsultan atau peguam yang berpengalaman.

24 Februari 2025

TINDAKAN SELEPAS DIBANKRAPKAN

selepas muflis bankrap

Menjadi seorang yang diisytiharkan bankrap boleh menjadi pengalaman yang mencemaskan, tetapi adalah penting untuk memahami bahawa terdapat langkah-langkah tertentu yang perlu diambil untuk menguruskan keadaan ini dengan bijak. 

...

1. Langkah pertama yang harus anda lakukan setelah menerima Perintah Kebankrapan adalah dengan hadir ke cawangan Jabatan Insolvensi Malaysia yang mentadbir kes kebankrapan anda. 

...

2. Kehadiran ini perlu dilakukan dengan kadar segera untuk memastikan proses pengurusan kebankrapan berjalan lancar.

...

3. Cawangan yang bertanggungjawab menguruskan kes kebankrapan anda ialah cawangan di negeri tempat Perintah Kebankrapan dikeluarkan. Jika anda tidak pasti mengenai lokasi cawangan ini, maklumat berkenaan boleh diperoleh melalui carian kebankrapan di laman web e-Insolvensi atau dengan menghubungi Jabatan Insolvensi Malaysia. 

...

4. Setelah tiba di cawangan yang ditetapkan, anda diminta untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Pegawai Insolvensi yang akan bertanggungjawab menguruskan kes anda.

...

5. Sebagai seorang yang bankrap, anda diwajibkan untuk mendedahkan segala maklumat berkaitan pendapatan, aset, dan perbelanjaan anda kepada Pegawai Insolvensi. 

...

6. Maklumat ini adalah penting bagi menentukan sejauh mana anda mampu untuk menyelesaikan hutang anda secara berperingkat. Pegawai Insolvensi akan membantu anda dalam proses ini, termasuk pengisian borang-borang yang berkaitan. 

...

7. Antara borang yang perlu anda isi adalah Borang Penyata Hal Ehwal dan Borang Penyata Pendapatan dan Perbelanjaan, yang berfungsi sebagai dokumen rasmi untuk merekodkan keadaan kewangan anda.

...

8. Pengisian borang ini memerlukan ketelusan penuh daripada pihak anda. Sebarang maklumat yang tidak didedahkan atau dipalsukan boleh membawa kepada tindakan yang lebih serius. 

...

9. Oleh itu, pastikan anda menyediakan dokumen-dokumen sokongan seperti penyata gaji, penyata bank, dan dokumen berkaitan aset sebelum hadir ke cawangan Jabatan Insolvensi.

...

10. Setelah semua maklumat dinyatakan, Pegawai Insolvensi akan membantu merangka pelan pembayaran hutang berdasarkan kemampuan kewangan anda. 

...

11. Pelan ini bertujuan untuk memberikan anda peluang memulihkan kedudukan kewangan anda sambil memenuhi tanggungjawab terhadap pemiutang. 

...

12. Walaupun menjadi seorang yang bankrap mengehadkan beberapa kebebasan anda, kerjasama penuh dengan Jabatan Insolvensi dapat membantu anda melalui proses ini dengan lebih efisien dan mengurangkan tekanan yang mungkin timbul.

...

13. Kerjasama sepenuhnya juga akan memudahkan urusan pelepasan anda kelak. Jadi adalah penting untuk memberikan kerjasama dan mendapatkan penjelasan sepenuhnya daripada pegawai yang bertugas.

...

14. Kebankrapan bukanlah penamat segalanya. Dengan pendekatan yang betul dan tindakan pantas, anda boleh menguruskan situasi ini secara teratur dan berusaha untuk keluar dari status kebankrapan. 

...

15. Penting untuk mendapatkan panduan dan sokongan yang tepat sepanjang proses ini, termasuk mendapatkan nasihat undang-undang bagi memastikan anda memahami hak dan tanggungjawab anda sebagai seorang yang bankrap.

---

kebankrapan

____________________________


Perhatian - Mykebankrapan.com bukanlah merupakan laman yang dikendalikan oleh mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia mahupun mana-mana badan kerajaan. Ianya dikendalikan oleh pihak profesional tempatan yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia atau mana-mana badan kerajaan atau yang sewaktu dengannya. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam Mykebankrapan.com tidak boleh dijadikan panduan untuk sebarang tindakan secara sendirian tanpa terlebih dahulu merujuk kepada mana-mana konsultan atau peguam yang berpengalaman.

Cari Kandungan Laman

mykebankrapan.com © , Hakcipta terpelihara. Laman Guaman
Email Email Kami. WhatsApp Whatsapp kami.