BAGAIMANA UNTUK MENYELESAIKAN HUTANG KEBANKRAPAN? BAGAIMANA UNTUK MENDAPATKAN PEMBATALAN PERINTAH KEBANKRAPAN MELALUI PERINTAH MAHKAMAH SELARAS DENGAN SEKSYEN 105 AKTA INSOLVENSI 1967?
---
1. Anda telah diisytiharkan bankrap atau muflis melalui satu Perintah Kebankrapan yang telah direkodkan di Mahkamah oleh seorang Pemiutang dan anda kini berhasrat untuk membuat penyelesaian penuh jumlah kebankrapan tersebut. Apa yang perlu anda lakukan? Adakah terdapat cara untuk anda membatalkan kebankrapan anda? Jawapannya, ya ada.
---
2. Pertama sekali, anda perlu berhubung dengan pihak Jabatan Insolvensi Malaysia dengan cara membuat temujanji dan seterusnya menghadirkan diri ke pejabat Jabatan Insolvensi Malaysia yang telah ditetapkan. Anda perlu mendapatkan maklumat berkenaan dengan bilangan Pemiutang yang telah memfailkan Bukti Keberhutangan terhadap anda dan jumlah keseluruhan amaun hutang kebankrapan yang masih perlu dibayar.
---
3. Apa maksudnya? Bilangan Pemiutang yang memfailkan Bukti Keberhutangan terhadap anda bermaksud Pemiutang-Pemiutang lain yang turut menuntut hutang daripada anda melalui Bukti Keberhutangan yang difailkan di Jabatan Insolvensi Malaysia selepas anda dibankrapkan.
---
4. Sebagai contoh; katakan anda ada membuat pinjaman peribadi dengan Bank A, Bank B dan Bank C, masing-masing berjumlah RM200,000.00 setiap satu. Apabila anda gagal membuat bayaran balik hutang anda kepada Bank A, maka lazimnya Bank A akan memfailkan Writ Saman terhadap anda dan seterusnya akan memfailkan tindakan kebankrapan terhadap anda. Selepas anda diisytiharkan bankrap, Bank B dan Bank C (yang tidak memfailkan Writ Saman) kebiasaanya akan turut memfailkan Bukti Keberhutangan di Jabatan Insolvensi Malaysia bagi menuntut baki hutang mereka daripada anda. Ini bermaksud Pemiutang yang telah memfailkan Bukti Keberhutangan terhadap anda ada 3 iaitu Bank A, Bank B dan Bank C.
---
5. Jumlah keseluruhan amaun hutang kebankrapan pula bermaksud jumlah kesemua hutang-hutang anda dengan mengambil kira hutang-hutang daripada kesemua Pemiutang yang membuat tuntutan terhadap anda melalui Bukti Keberhutangan.
---
6. Sebagai contoh, sekiranya Bank A telah membankrapkan anda untuk amaun Penghakiman berjumlah RM100,000.00 manakala Bank B dan Bank C masing-masing memfailkan Bukti Keberhutangan untuk amaun berjumlah RM50,000.00 setiap satu, maka jumlah keseluruhan hutang kebankrapan yang perlu anda selesaikan adalah RM200,000.00.
---
7. Selepas anda mendapat maklumat-maklumat tersebut terutamanya pengesahan jumlah keseluruhan hutang yang perlu anda selesaikan daripada pihak Jabatan Insolvensi Malaysia termasuklah kos permohonan dan fi yang akan dikenakan oleh Ketua Pengarah Insolvensi, anda akan diminta untuk menyediakan cek bagi jumlah penyelesaian yang telah dipersetujui. Pembayaran ini perlu dibuat kepada atau melalui pihak Jabatan Insolvensi Malaysia.
---
8. Selepas pembayaran tersebut diselesaikan, maka anda boleh memberikan arahan kepada peguam yang anda pilih untuk memfailkan permohonan pembatalan tertentu di Mahkamah. Mahkamah akan menetapkan satu tarikh pendengaran untuk mendengar permohonan anda, sementara peguam anda akan menyempurnakn beberapa ketetapan penting yang perlu dilakukan sebelum permohonan tersebut boleh didengarkan dan seterusnya diputuskan.
---
9. Sekiranya Mahkamah berpuas hati bahawa segala prosedur, syarat-syarat dan kaedah-kaedah yang ditetapkan oleh Akta Insolvensi 1967 dan Kaedah-Kaedah Insolvensi 2017 telah dipuaskan atau dipenuhi, dan tiada bantahan daripada pegawai Insolvensi yang akan turut hadir bagi pihak Ketua Pengarah Insolvensi, maka satu Perintah Membatalkan Kebankrapan anda akan diberikan dan direkodkan.
---
____________________________
Perhatian - Mykebankrapan.com bukanlah merupakan laman yang dikendalikan oleh mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia mahupun mana-mana badan kerajaan. Ianya dikendalikan oleh pihak profesional tempatan yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia atau mana-mana badan kerajaan atau yang sewaktu dengannya. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam Mykebankrapan.com tidak boleh dijadikan panduan untuk sebarang tindakan secara sendirian tanpa terlebih dahulu merujuk kepada mana-mana konsultan atau peguam yang berpengalaman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan