Apa yang berlaku terhadap hutang piutang lain daripada pemiutang-pemiutang yang masih belum dijelaskan sepenuhnya oleh individu yang baru sahaja dikenakan perintah kebankrapan? Apa yang akan berlaku kepada pinjaman-pinjaman seperti pinjaman sewa beli kenderaan ataupun hartanah?
...
1. Apabila seseorang individu dikenakan perintah kebankrapan, semua pemiutang yang ingin menuntut bahagian daripada aset yang diuruskan oleh Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) perlu mengemukakan satu dokumen yang dinamakan bukti keberhutangan (proof of debt) diiringi beberapa dokumen-dokumen yang tertentu.
...
2. Tindakan ini bukan sahaja memastikan tuntutan mereka diiktiraf tetapi juga membantu dalam pembahagian aset secara adil kepada semua pemiutang berdasarkan keutamaan yang telah diselaraskan oleh undang-undang.
...
3. Proses bukti keberhutangan ini tertakluk kepada peruntukan di bawah Seksyen 42 Akta Insolvensi 1967 dan Jadual C Akta Insolvensi 1967, yang menggariskan langkah-langkah utama yang perlu diambil oleh pemiutang-pemiutang lain yang ingin membuat tuntutan.
...
4. Pemfailan bukti keberhutangan ini adalah perlu dan sangat penting untuk mendapatkan pengiktirafan hutang. Ini adalah kerana pemiutang-pemiutang sudah tidak lagi boleh memfailkan saman terhadap individu selepas individu tersebut dikenakan perintah kebankrapan.
...
5. Oleh itu, setiap pemiutang dikehendaki membuktikan hutang mereka secepat mungkin selepas perintah kebankrapan dibuat. Ini dilakukan melalui penyerahan dokumen-dokume tertentu yang mengesahkan jumlah hutang kepada KPI.
...
6. Bagi pemiutang bercagar, mereka mempunyai dua pilihan: sama ada merealisasikan cagaran mereka dan hanya membuktikan baki hutang selepas ditolak nilai cagaran yang direalisasikan, atau menyerahkan cagaran mereka kepada KPI untuk manfaat umum semua pemiutang dan membuktikan jumlah hutang keseluruhan.
...
7. Ini membawa kepada persoalan sekiranya individu yang baru diisytihar bankrap, apa yang akan berlaku kepada kenderaan atau rumah yang masih mempunyai hutang yang belum dijelaskan sepenuhnya.
...
8. Apabila seseorang individu diisytiharkan bankrap dan memiliki hartanah yang masih bercagar kepada bank, sebagai contoh, hak milik hartanah tersebut secara automatik akan terletak di bawah pengurusan KPI.
...
9. Namun, pinjaman perumahan yang belum selesai masih perlu dijelaskan kerana bank sebagai pemiutang bercagar mempunyai keutamaan untuk merealisasikan cagaran mereka.
...
10. Dalam kebanyakan kes, bank akan melelong hartanah tersebut untuk mendapatkan semula baki hutang. Jika hasil lelongan tidak mencukupi untuk menampung jumlah pinjaman, baki hutang tersebut akan disenaraikan sebagai hutang tidak bercagar dan dikendalikan oleh DGI bersama tuntutan pemiutang lain.
...
11. Bagi si bankrap, kehilangan hartanah ini adalah satu kebarangkalian besar sekiranya pinjaman tidak dapat dijelaskan. Oleh itu, adalah penting bagi mereka yang menghadapi risiko kebankrapan untuk memahami implikasi ini.
...
12. Berbalik kepada isu bukti keberhutangan, selepas sahaja dokumen bukti keberhutangan diserahkan, KPI akan memeriksa kesahihan tuntutan tersebut. Jika terdapat kekurangan bukti atau alasan untuk menolak tuntutan, KPI akan memberitahu pemiutang secara bertulis dan menyatakan sebab-sebab penolakan. Dalam keadaan di mana tuntutan diterima, jumlah hutang akan diambil kira untuk pembahagian aset.
...
13. Proses membuktikan keberhutangan ini penting bagi memastikan keadilan dalam pengagihan aset kepada semua pemiutang. Bagi pemiutang, adalah penting untuk bertindak segera dengan menyediakan dokumen yang lengkap dan tepat bagi mengelakkan kelewatan atau penolakan tuntutan mereka.
---
____________________________
Perhatian - Mykebankrapan.com bukanlah merupakan laman yang dikendalikan oleh mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia mahupun mana-mana badan kerajaan. Ianya dikendalikan oleh pihak profesional tempatan yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia atau mana-mana badan kerajaan atau yang sewaktu dengannya. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam Mykebankrapan.com tidak boleh dijadikan panduan untuk sebarang tindakan secara sendirian tanpa terlebih dahulu merujuk kepada mana-mana konsultan atau peguam yang berpengalaman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan