28 Februari 2025

MENERIMA NOTIS KEBANKRAPAN DAN PETISYEN KEBANKRAPAN

notis kebankrapan petisyen kebankrapan

Apabila anda menerima Notis Kebankrapan atau Petisyen Kebankrapan, ini adalah petanda jelas bahawa suatu prosiding kebankrapan telah dimulakan terhadap anda di Mahkamah. Situasi ini biasanya berlaku apabila suatu tindakan saman telah difailkan terhadap anda, dan pihak Plaintif telah berjaya mendapatkan penghakiman terhadap anda. Amaun penghakiman yang terlibat pula mestilah tidak kurang daripada RM100,000.00, sama ada melibatkan hutang atau jumlah gantirugi yang dikenakan.

Notis Kebankrapan adalah dokumen rasmi yang menuntut anda untuk membuat pembayaran amaun penghakiman berserta faedah dalam tempoh 7 hari dari tarikh notis tersebut diserahkan kepada anda. Ia merupakan langkah akhir sebelum Pemiutang memohon untuk mendapatkan Perintah Kebankrapan terhadap anda. 

Apabila anda menerima notis ini, tindakan segera yang perlu dilakukan ialah merujuk kepada peguam. Ini kerana jangka masa yang diberikan untuk menjawab atau mencabar Notis Kebankrapan adalah sangat terhad, dan kegagalan untuk bertindak dalam tempoh ini boleh menyebabkan proses kebankrapan diteruskan tanpa peluang untuk mempertahankan diri anda.

Berbeza pula dengan Petisyen Kebankrapan, dokumen ini merupakan permohonan rasmi daripada Pemiutang kepada Mahkamah untuk mendapatkan Perintah Kebankrapan terhadap anda. 

Sama seperti Notis Kebankrapan, tindakan pertama yang perlu anda ambil setelah menerima Petisyen Kebankrapan ialah mendapatkan nasihat undang-undang daripada peguam. Penting untuk diingat bahawa setiap dokumen ini membawa implikasi undang-undang yang besar, dan hanya melalui nasihat yang betul, anda boleh mengambil langkah yang tepat untuk melindungi hak anda.

Satu persoalan yang sering timbul ialah, adakah proses kebankrapan akan terhenti jika anda mengabaikan atau enggan menerima penyerahan Notis Kebankrapan atau Petisyen Kebankrapan? 

Jawapannya adalah tidak. Mengabaikan dokumen ini tidak akan menghentikan proses kebankrapan kerana undang-undang membenarkan penyerahan dokumen-dokumen ini dilakukan secara Penyampaian Ganti. 

Sebagai contoh, dokumen boleh dipamerkan di alamat terakhir anda yang diketahui atau diiklankan di surat khabar. Ini bermakna, proses untuk membankrapkan anda akan tetap diteruskan meskipun anda tidak menerima dokumen secara langsung.

Oleh itu, mengabaikan Notis Kebankrapan atau Petisyen Kebankrapan bukanlah langkah yang bijak. Sebaliknya, ambil tindakan proaktif dengan mendapatkan nasihat undang-undang segera dan memastikan anda memahami hak serta pilihan anda dalam situasi ini. 

Kebankrapan membawa implikasi yang serius kepada kebebasan kewangan dan kehidupan seharian anda, dan hanya dengan tindakan yang betul, anda boleh mengurangkan kesan buruknya atau berusaha menyelesaikan situasi ini dengan sebaik mungkin. Jangan biarkan dokumen ini diabaikan, kerana tindakan segera boleh menjadi penentu kepada hasil yang lebih baik dalam kes anda.

---

kebankrapan

____________________________


Perhatian - Mykebankrapan.com bukanlah merupakan laman yang dikendalikan oleh mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia mahupun mana-mana badan kerajaan. Ianya dikendalikan oleh pihak profesional tempatan yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia atau mana-mana badan kerajaan atau yang sewaktu dengannya. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam Mykebankrapan.com tidak boleh dijadikan panduan untuk sebarang tindakan secara sendirian tanpa terlebih dahulu merujuk kepada mana-mana konsultan atau peguam yang berpengalaman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kebankrapan? Tanya mykebankrapan.com di sini atau whatsapp mykebankrapan.com dengan klik butang whatsapp di skrin.

Cari Kandungan Laman

mykebankrapan.com © , Hakcipta terpelihara. Laman Guaman
Email Email Kami. WhatsApp Whatsapp kami.