16 November 2024

PERBUATAN-PERBUATAN KEBANKRAPAN


acts of bankruptcy

Apakah perbuatan-perbuatan yang boleh menyebabkan seseorang itu dikenakan tindakan kebankrapan di bawah Akta Insolvensi 1967. Seperti yang kita sedia maklum, kebankrapan merupakan satu situasi di mana seseorang individu secara sah diisytiharkan melalui satu Perintah Kebankrapan sebagai tidak mampu untuk membayar hutangnya. 

...

1. Akta Insolvensi 1967 telah menggariskan perbuatan - perbuatan yang dianggap sebagai perbuatan kebankrapan. Perbuatan - perbuatan ini, sekiranya dilakukan, pada lazimnya boleh menjadi asas kepada tindakan undang-undang untuk mengisytiharkan seseorang individu sebagai muflis. Berikut adalah penerangan ringkas tentang perbuatan-perbuatan kebankrapan yang diperuntukkan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Insolvensi 1967.

...

2. Seseorang dianggap melakukan perbuatan kebankrapan jika dia membuat penyerahan harta kepada pemegang amanah untuk faedah pemiutang secara keseluruhan. Penyerahan ini biasanya bertujuan untuk menyelesaikan hutang, tetapi dalam konteks undang-undang, ia menunjukkan ketidakmampuan individu tersebut untuk mengurus kewangannya. 

...

3. Selain itu, tindakan seperti pemindahan harta yang dilakukan secara penipuan, hadiah, atau penghantaran harta yang bermaksud untuk mengelak daripada membayar hutang juga termasuk dalam kategori ini.

...

4. Seseorang juga boleh dianggap telah melakukan perbuatan kebankrapan sekiranya dia membuat pemindahan harta atau mewujudkan cagaran ke atas harta yang bertujuan memberikan keutamaan kepada pemiutang tertentu secara tidak sah. Ini biasanya dilakukan untuk melindungi aset daripada tindakan undang-undang atau untuk mengelakkan pemiutang lain mendapatkan bahagian mereka.

...

5. Niat untuk melambatkan atau mengelakkan pemiutang juga dikira sebagai perbuatan kebankrapan. Ini termasuk tindakan seperti meninggalkan Malaysia, tidak pulang ke Malaysia setelah berada di luar negara, menghilangkan diri dari kediaman atau tempat perniagaan, atau dengan sengaja tidak muncul di mahkamah untuk mengelakkan pembayaran hutang.

...

6. Selain itu, jika hartanya disita melalui perintah mahkamah kerana gagal membayar hutang melebihi RM1,000.00, individu tersebut dianggap telah melakukan perbuatan kebankrapan. 

...

7. Tindakan memfailkan pengisytiharan ketidakmampuan untuk membayar hutang atau menghantar notis kepada pemiutang bahawa dia telah menghentikan atau akan menghentikan pembayaran hutang juga termasuk dalam perbuatan kebankrapan.

...

8. Satu lagi situasi adalah apabila pemiutang yang telah memperoleh penghakiman terhadap individu tersebut menyerahkan Notis Kebankrapan yang tidak dipatuhi dalam tempoh tujuh hari. Kegagalan mematuhi notis ini, sama ada dengan membayar jumlah hutang atau memberikan bukti kepada mahkamah bahawa terdapat tuntutan balas yang sah, adalah bukti jelas kebankrapan. Ini adalah situasi yang paling banyak yang menyebabkan seseorang itu muflis.

...

9. Akhir sekali, jika pegawai pelaksana perintah mahkamah melaporkan bahawa individu tersebut tidak mempunyai harta yang boleh disita untuk melaksanakan perintah mahkamah, individu itu juga dianggap telah melakukan perbuatan kebankrapan.

...

10. Setiap perbuatan kebankrapan ini, sekiranya dilakukan, boleh dan akan menjadi asas untuk memulakan tindakan kebankrapan terhadap seseorang. Dalam situasi seperti ini, individu yang terlibat perlu segera mendapatkan nasihat undang-undang bagi melindungi hak mereka dan mencari penyelesaian yang terbaik.

...


kebankrapan

____________________________


Perhatian - Mykebankrapan.com bukanlah merupakan laman yang dikendalikan oleh mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia mahupun mana-mana badan kerajaan. Ianya dikendalikan oleh pihak profesional tempatan yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia atau mana-mana badan kerajaan atau yang sewaktu dengannya. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam Mykebankrapan.com tidak boleh dijadikan panduan untuk sebarang tindakan secara sendirian tanpa terlebih dahulu merujuk kepada mana-mana konsultan atau peguam yang berpengalaman.





12 Mei 2024

PELEPASAN MELALUI SIJIL KETUA PENGARAH INSOLVENSI

pelepasan kebankrapan melalui sijil ketua pengarah insolvensi

TERDAPAT BEBERAPA KAEDAH UNTUK MENDAPATKAN PELEPASAN DARIPADA KEBANKRAPAN DAN SETIAP KAEDAH-KAEDAH INI MEMPUNYAI SYARAT-SYARAT YANG TERTENTU YANG PERLU DIPATUHI DAN DIPENUHI DENGAN SEMPURNA. SALAH SATU DARIPADANYA ADALAH PERMOHONAN PELEPASAN MELALUI SIJIL KETUA PENGARAH INSOLVENSI.

...

1. Apakah yang diimaksudkan dengan permohonan pelepasan bankrap melalui sijil Ketua Pengarah Insolvensi? Ianya adalah permohonan untuk mendapatkan pelepasan daripada status bankrap di mana Ketua Pengarah Insolvensi mempunyai budi bicara untuk memberi pelepasan kepada pemohon-pemohon yang layak dan menepati syarat-syarat yang ditetapkan.

...

2. Ini adalah kaedah yang lebih mudah untuk mendapatkan pelepasan berbanding dengan permohonan pelepasan di bawah seksyen 105 Akta Insolvensi 1967 yang memerlukan pemfailan permohonan pelepasan atau pembatalan kebankrapan di Mahkamah.

...

3. Namun hanya kerana anda membuat permohonan, tidak beerti yang anda akan mendapat pelepasan tersebut. Ini kerana kuasa pelepasan pada Ketua Pengarah Insolvensi itu adalah berbentuk budi bicara (discretion). Beliau berhak untuk membenarkan sesuatu permohonan perlepasan itu dan beliau juga berhak untuk menolaknya.

...

4. Selain daripada itu, terdapat syarat-syarat yang perlu dan wajib dipatuhi sebelum si Bankrap itu layak untuk membuat permohonan untuk mendapatkan pelepasan melalui Sijil Ketua Pengarah Insolvensi. Apakah syarat-syarat tersebut?

...

5. Berdasarkan seksyen 33A (2) Akta Insolvensi 1967, Ketua Pengarah Insolvensi tidak akan mengeluarkan sijil pelepasan melainkan tempoh kebankrapan si Bankrap itu telah melebihi lima (5) tahun daripada tarikh beliau di bankrapkan.

...

6. Oleh itu, sebelum memfailkan borang permohonan untuk pelepasan, si Bankrap hendaklah terlebih dahulu memastikan bahawa tempoh kebankrapan beliau telah melebihi lima tahun yang dikira daripada tarikh Perintah Kebankrapan dimasukkan ke atas beliau.

...

7. Sekiranya tempoh lima tahun tersebut masih belum luput, maka permohonan untuk mendapatkan pelepasan yang difailkan oleh si Bankrap, boleh ditolak.

...

8. Sebelum memfailkan Borang Pelepasan, si Bankrap juga perlu hadir ke Jabatan Insolvensi berdekatan untuk melapor diri dan memfailkan Penyata Hal Ehwal (Borang PHE). Persediaan ini menunjukkan bahawa si Bankrap telah memberikan kerja sama yang baik kepada Jabatan Insolvensi berkenaan dengan hal ehwal kebankrapannya.

...

9. Selain itu, si Bankrap juga hendaklah mengisi dan menyerahkan Borang Permohonan Pelepasan Sijil Ketua Pengarah Insolvensi Di Bawah Seksyen 33A Akta Insolvensi 1967 yang boleh didapati samada di cawangan-cawangan Jabatan Insolvensi yang terdekat ataupun dengan cara memuat turun Borang tersebut di laman web Jabatan Insolvensi.

...

10. Akhir sekali, salah satu faktor yang akan turut dipertimbangkan oleh Ketua Pengarah Insolvensi sebelum membuat sebarang keputusan berkenaan permohonan pelepasan yang diterima adalah sekiranya ada bantahan-bantahan yang dibuat oleh Pemiutang-Pemiutang yang memfailkan Bukti Keberhutangan yang menyatakan ketidaksetujuan mereka terhadap pelepasan tersebut.

---

kebankrapan

____________________________


Perhatian - Mykebankrapan.com bukanlah merupakan laman yang dikendalikan oleh mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia mahupun mana-mana badan kerajaan. Ianya dikendalikan oleh pihak profesional tempatan yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia atau mana-mana badan kerajaan atau yang sewaktu dengannya. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam Mykebankrapan.com tidak boleh dijadikan panduan untuk sebarang tindakan secara sendirian tanpa terlebih dahulu merujuk kepada mana-mana konsultan atau peguam yang berpengalaman.


 

05 Mei 2024

SYARAT-SYARAT SEBELUM MEMFAILKAN KEBANKRAPAN

syarat bankrap
AKTA INSOLVENSI TELAH MENGGARISKAN BEBERAPA SYARAT-SYARAT UMUM SEBELUM SEORANG PEMIUTANG DIBOLEHKAN UNTUK MEMFAIL SESUATU PETISYEN KEBANKRAPAN. APAKAH SYARAT-SYARAT UMUM SEBELUM PEMIUTANG DIBENARKAN MEMFAILKAN TINDAKAN KEBANKRAPAN TERSEBUT?

...

1. Seksyen 5 Akta Insolvensi 1967 telah menggariskan beberapa syarat penting yang perlu dipenuhi oleh seseorang pemiutang sebelum beliau dibenarkan untuk memfailkan petisyen kebankrapan terhadap Si Penghutang. 

...

2. Syarat-syarat ini penting kerana seseorang Penghutang itu tidak boleh sama sekali dikenakan tindakan kebankrapan melainkan syarat-syarat ini dipenuhi terlebih dahulu. Kegagalan untuk memenuhinya boleh menyebabkan tindakan kebankrapan yang telah difailkan di Mahkamah akan ditolak.

...

3. Syarat yang pertama adalah seseorang pemiutang itu tidak boleh dibankrapkan melainkan jumlah keberhutangan yang masih terhutang (debt owing) itu adalah tidak kurang daripada RM100,000.00. Maksudnya, sekiranya amaun keberhutangan itu kurang daripada RM100,000.00 maka si Penghutang itu tidak boleh di bankrapkan.

...

4. Syarat yang kedua adalah amaun keberhutangan yang masih terhutang itu adalah dalam bentuk telah diputuskan dan muktamad (liquidated sum). Maksudnya, ada satu jumlah keberhutangan yang telah ditetapkan dengan tepat dan disahkan, lazimnya oleh Mahkamah melalui satu penghakiman.

...

5. Syarat yang ketiga adalah sesuatu petisyen kebankrapan itu hendaklah diifailkan di dalam tempoh masa enam (6) bulan daripada tarikh perbuatan kebankrapan selaras dengan Seksyen 3 Akta Insolvensi. Petisyen tidak boleh difailkan selepas daripada tempoh yang tersebut.

...

6. Syarat yang keempat adalah pengnhutang yang hendak dibankrapkan hendaklah bermastautin atau mempunyai tempat tinggal atau premis perniagaan atau menjalankan perniagaan di Malaysia sekurang-kurangnya setahun sebelum pemiutang boleh memfailkan petisyen kebankrapan. 

...

7. Sekiranya pemiutang berhasrat untuk memfailkan tindakan kebankrapan ke atas penjamin, maka syarat seterusnya yang perlu dijadikan panduan adalah tindakan kebankrapan tidak boleh diambil ke atas penjamin sosial / social guarantor (penjamin pinjaman berasaskan pendidikan, sewa beli kenderaan atau kemudahan pinjaman perumahan untuk kegunaan persendirian). 

...

8. Tindakan kebankrapan ke atas penjamin selain daripada penjamin sosial (non social guarantor) pula hanya boleh dimulakan sekiranya pemiutang mendapat kebenaran daripada Mahkamah selepas syarat-syarat tertentu untuk mendapatkan kebenaran tersebut dipenuhi.

...

9. Syarat-syarat ini hendaklah dipenuhi dengan sempurna dan pemakaiannya adalah sangat ketat. Ini adalah kerana Seksyen 5 (7) Akta Insolvensi 1967 telah menetapkan bahawa sekiranya syarat-syarat ini gagal dipenuhi, Mahkamah akan menolak petisyen kebankrapan yang difailkan.

---

kebankrapan

____________________________


Perhatian - Mykebankrapan.com bukanlah merupakan laman yang dikendalikan oleh mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia mahupun mana-mana badan kerajaan. Ianya dikendalikan oleh pihak profesional tempatan yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia atau mana-mana badan kerajaan atau yang sewaktu dengannya. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam Mykebankrapan.com tidak boleh dijadikan panduan untuk sebarang tindakan secara sendirian tanpa terlebih dahulu merujuk kepada mana-mana konsultan atau peguam yang berpengalaman.


29 April 2024

KEBANKRAPAN TERHADAP PENJAMIN

kebankrapan penjamin
APA ITU PENJAMIN DAN ADAKAH SEORANG PENJAMIN YANG MENJAMIN SESUATU KEMUDAHAN PINJAMAN BOLEH DI BANKRAPKAN? SEKIRANYA BOLEH, ADAKAH TERDAPAT SYARAT-SYARAT YANG PERLU DIPENUHI SEBELUM SESEORANG PENJAMIN ITU BOLEH DIBANKRAPKAN?

...

1. Siapakah penjamin? Penjamin adalah individu yang memberikan jaminan terhadap pinjaman yang diterima oleh seseorang pemiutang, lazimnya terdiri daripada individu yang mengenali pemiutang tersebut. 

...

2. Sekiranya seorang penghutang itu gagal membuat bayaran balik hutang atau pinjaman yang diterimanya, maka penjamin yang memberikan jaminan tadi akan turut bertanggungjawab untuk melangsaikan hutang dan pinjamannya.

...

3. Di dalam sesetengah keadaan, sesuatu pinjaman yang dipohon itu tidak akan diluluskan oleh entiti kewangan seperti bank tanpa sokongan dan jaminan seorang penjamin.

...

4. Disisi undang-undang, terdapat dua kategori penjamin. Kategori pertama adalah Penjamin sosial (social guarantor) manakala kategori yang kedua adalah penjamin bukan sosial (non-social guarantor).

...

5. Penjamin sosial adalah penjamin yang terdiri daripada individu yang memberi jaminan terhadap hutang atau pinjaman yang tidak bercirikan keuntungan (non-profit). 

...

6. Akta Insolvensi 1967 telah menggariskan tiga kategori penjamin yang dikenali sebagai penjamin sosial iaitu penjamin bagi satu pinjaman pelajaran, penjamin bagi transaksi sewa beli kenderaan untuk kegunaan persendirian dan penjamin bagi kemudahan pinjaman perumahan untuk kegunaan persendirian.

...

7. Penjamin bukan sosial pula adalah penjamin-penjamin lain yang memberikan jaminan kepada pinjaman selain daripada pinjaman pendidikan, sewa-beli kenderaan untuk kegunaan persendirian dan pinjaman perumahan untuk kegunaan persendirian.

...

8. Jaminan bukan sosial lazimnya adalah jaminan yang diberikan kepada pinjaman yang berbentuk keuntungan (profit based) contohnya seperti pinjaman persendirian (personal financing/loan) atau pinjaman perniagaan (business financing/loan). 

...

9. Contohnya seperti pengarah-pengarah syarikat yang memberikan jaminan pengarah (directors guarantee) terhadap pinjaman perniagaan yang diterima oleh syarikatnya.

...

10. Adakah seorang penjamin boleh dikenakan tindakan kebankrapan berdasarkan jaminan yang beliau berikan?

...

11. Bagi seorang penjamin sosial, beliau diberikan imuniti mutlak daripada prosiding kebankrapan. ini bermaksud seseorang penjamin sosial tidak boleh dikenakan sebarang tindakan kebankrapan.

...

12. Manakalah bagi seorang penjamin bukan sosial, tindakan kebankrapan hanya boleh diteruskan terhadapnya apabila pemiutang berjaya mendapatkan kebenaran mahkamah untuk memulakan tindakan kebankrapan tersebut.

...

13. Tanpa kebenaran Mahkamah, seorang penjamin bukan sosial tidak boleh dikenakan tindakan kebankrapan.

---

kebankrapan

____________________________


Perhatian - Mykebankrapan.com bukanlah merupakan laman yang dikendalikan oleh mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia mahupun mana-mana badan kerajaan. Ianya dikendalikan oleh pihak profesional tempatan yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia atau mana-mana badan kerajaan atau yang sewaktu dengannya. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam Mykebankrapan.com tidak boleh dijadikan panduan untuk sebarang tindakan secara sendirian tanpa terlebih dahulu merujuk kepada mana-mana konsultan atau peguam yang berpengalaman.


Cari Kandungan Laman

mykebankrapan.com © , Hakcipta terpelihara. Laman Guaman
Email Email Kami. WhatsApp Whatsapp kami.